Aku Jatuh Cinta Sama 'DILAN 1990'

in #steem-cartoon7 years ago

Kelmarin malam aku menonton filem 'Dilan 1990' yang disutradarakan Fajar Bustomi adaptasi novel karya Pidi Baiq dengan judul yang sama. Tanpa ada pengalaman membaca novel tersebut tetapi gemarkan Pidi Baiq dengan jenaka sarkastiknya selain pernah mendengar lagu-lagu dari bandnya The Panas Dalam (boleh lihat di You Tube), serta hasutan Irwan Bajang, teman di Yogyakarta yang merasakan filem ini boleh pukul filem 'cult' Ada Apa Dengan Cinta, aku pun bersetuju. Maka aku, Zamir yang dibawa Thole dan isterinya Gayuh, teman dari Yogyakarta langsung terus ke bioskop Empire XXI. Kisah percintaan remaja sekolah SMA berusia 17 tahun pada 1990 berlatarbelakangkan daerah Buahbatu di Bandung. Woh! Ini kisah seperti zaman baya aku pada tahun yang sama juga. Era bercinta tulis surat, bukan sms atau email.
Milea (lakonan Vanesha Prescilla) baru berpindah dari Jakarta dan bertukar ke sekolah di situ . Tika jalan kaki menuju sekolah, seorang pelajar lelaki menaiki motosikal mempelawanya bonceng tetapi Milea menolak. Dilan (lakonan Iqbaal Ramadhan), pelajar lelaki yang terkenal dengan ketua geng motor nakal itu meramalkan yang suatu hari nanti Milea pasti akan menaiki motosikalnya. Itu cara Dilan memikat, penuh dengan jenaka luar jangka.
Babak-babak seterusnya menyaksikan usaha Dilan cuba mengorat Milea dengan usikan dan kata-kata yang unik, nakal, mengirim surat-surat ringkas sehinggalah dia berjaya memenangi hati Milea. Masih ingat stail bercinta melalui surat sebelum kaedah ini dibunuh oleh sistem telekomunikasi. Kemanisannya lain macam dan kegigihan amat diperlukan. Begitulah seterusnya episod percintaan mereka. Usik mengusik cara remaja, bicara romantik keanak-anakan tetapi 'sweet' sehingga aku terasa seperti ingin kembali bercinta. Wajah Iqbaal yang 'baby face' membawa watak Dilan, untuk aku yang tak pernah kenal dengan aktor ini, sangat menjadi. Bertubuh kurus dan manis pun boleh jadi seorang pemberontak. Tak perlu jadi sasa. Keletah dan senyum nakal Dilan sangat menyenangkan aku. Sementara Vanesha sebagai Milea cukup cantik. Ya, filem ini aku tonton ketika dua tiga jam lagi menjelangnya usia puteri sulungku, jika masih hidup akan berusia 17 tahun. Sudah tentu aku melihat Milea dengan perasaan bercampur baur. Mungkin ini terlalu peribadi, aku agak emosional sedikit dan ada babak membuat aku sebak walaupun ia bukan babak sedih. Mujur Zamir yang duduk di sebelah tak perasan. Barangkali kerana aku mencampuradukkan Milea dengan arwah Annisa. Entah kenapalah...
Okey sambung! Konflik percintaan pasti ada. Bekas kekasih di sekolah lama Milea di Jakarta muncul dan sudah tentulah perhubungan mereka putus kerana dia bukan hero. Untuk nampak 'real' perlu putus ialah apabila perangai panas baran dan mulut celuparnya ketika marah sukar dikawal sehingga tergamak melemparkan kata-kata penghinaan seperti 'pelacur' terhadap Milea. Juga ada watak Kang Adi , guru tuisyen Milea yang cuba nasib juga memikat Milea. Selain itu ada babak cemas apabila sekolah mereka diserang oleh kumpulan samseng bermotosikal. Tidak ketinggalan babak perkelahian dan bertumbuk Dilan dengan kawan baiknya sendiri kerana kawannya itu mengganggu Milea. Ada juga babak bagaimana Dilan cuba melawan semula gurunya yang telah melakukan kekasaran dengan tidak patut.
Barangkali anda akan kecewa kerana penceritaannya sedikit mendatar seperti terlalu mudah membina sebuah perhubungan tidak seperti yang kita selalu tonton bagaimana percintaan selalunya dihalang oleh orang tua disebabkan perbezaan kasta, salah sangka, cemburu dan sebagainya. Malah perhubungan mereka sangat direstui pula oleh ibu Milea dan ibu Dilan. Lagi geli apabila ibu Dilan sangat memanjakan Milea dengan selalu memberikan pelukan dan belaian. Takkanlah sampai begitu kan? Tapi, hey! Apa salahnya jika begitu, ya tak?
Jenaka loyar buruk Dilan semasa mengorat Milea dapat kita rasakan itulah gaya jenaka Pidi Baiq itu sendiri. Bicara romantis ketika Dilan menelefon Milea sangat menghiburkan dan pastinya akan menjadi ikutan penonton seperti pertanyaan Dilan kepada Milea melalui telefon-
"Kau rindu aku?"
"Rindu"
"Jangan."
"Kenapa?"
"Terlalu berat nanti. Biar aku aja (yang menanggungnya)."
Ini zaman 90an, Dilan menggunakan telefon awam dengan duit syiling. Tiada telefon bimbit, komputer dan internet. Jaket, t-shirt Snoopy, poster The Rolling Stone adalah demam era itu.
"Cemburu itu tanda orang yang kurang yakin. Dan sekarang aku kurang yakin."
Apa lagi ya? Malas pula nak tulis panjang-panjang. Tapi ceritanya membuat aku seronok mengingati zaman remaja.
Ceritanya dibiarkan tergantung, dan 'voice over' Milea pada hari ini yang sudah dewasa. Pada awal cerita ini tadi juga dibuka oleh catatan Milea bagaimana dia berkenalan dengan Dilan, lelaki yang telah mengajar pentingnya mengucapkan selamat tidur ketika hendak tidur. Cerita ditamatkan tanpa diketahui apa penyudah percintaan mereka (mungkin pembaca novelnya sudah tahu. Novel ini sudah bersambung tiga episod, menurut Gayuh) dengan tulisan menggambarkan bakal adanya sambungan 'Dilan 1991'.

Ya! Aku dan Zamir antara orang Malaysia terawal dapat menonton 'Dilan 1990'
Dan.... Cis! Aku jatuh cinta sama Dilan dan Milea.

dilan.jpg